Sejarah Sekolah

SEJARAH PENUBUHAN DAN PERKEMBANGAN SMK. DATO’ SHEIKH AHMAD
Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Sheikh Ahmad diasaskan pada 1 Januari 1964 sebagai Sekolah Menengah Aliran Kebangsaan yang pertama di Perlis. Sebelumnya ditumpangkan di Sekolah Inggeris Derma, Kangar mulai Mei 1958.Dirasmikan pada 12 Jun 1964 oleh Y.T.M Tengku Suleiman Ibni Almarhum Tengku Bendahara Abu Bakar, sebagai Sekolah Menengah Melayu Arau. Pada 3 November 1966 diberi nama baru Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Sheikh Ahmad dengan menerima hanya pelajar Tingkatan 4 dan 5 sahaja, manakala Tingkatan 1, 2, dan 3 belajar di Sekolah Melayu Arau.Mulai 1968 menjadi pusat aliran sains bagi pelajar Tingkatan 4 seluruh negeri Perlis dan berakhir pada 1977.
Pada 1 Julai 1970 Sekolah Menengah Dato’ Sheikh Ahmad dicantumkan dengan Sekolah Melayu Arau. Pada 1972 Sekolah Menengah Dato’ Sheikh Ahmad memasuki era baru apabila Tingkatan 6 Rendah Sastera dimulakan dan setahun kemudian Tingkatan 6 Rendah Sains.
Pada tahun 1994 Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Sheikh Ahmad dijadikan sebagai salah sebuah sekolah kawalan di Perlis, maka hanya pelajar-pelajar berkelayakan mínimum 3A1B ditempatkan di sekolah ini.
Pada tahun 1997, sekolah ini dijadikan sekolah perintis Kementerian Pendidikan bagi mata pelajaran
Perkomputeran peringkat STPM dan seterusnya pada tahun 1999, sekolah ini sekali lagi dipilih sebagai sekolah perintis Kementerian Pendidikan bagi mata pelajaran Teknologi Maklumat peringkat SPM.

Pada tahun 2009, SMKDSA maju setapak lagi dalam perkembangan dunia pendidikan negara apabila diiktiraf sebagai sebuah Sekolah Kluster Kecemerlangan oleh Kementerian Pendidikan.

Tahun 2013, SMK Dato’ Sheikh Ahmad melangkah ke hadapan sekali lagi apabila dipilih dalam kalangan 10 buah sekolah di seluruh negara untuk menjadi sekolah yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam Middle Year Program International Baccalaureate (MYP IB) . SMK Dato’ Sheikh Ahmad merupakan satu-satunya sekolah di negeri Perlis yang terpilih untuk program tersebut. Pada masa ini, SMK. Dato’ Sheikh Ahmad dalam persediaaan untuk mendapatkan pengiktirafan penuh sebagai sebuah sekolah International Baccalaureate World School pada tahun 2016.