Program Silang Budaya 2019

Arau 11 Sept 2019: Pengetahuan dan kefahaman mengenai ilmu silang budaya perlu diterapkan supaya interaksi dan komunikasi antara kaum dan budaya di negara kita berjalan lancar, sekali gus mengelakkan salah faham dan konflik antara etnik.

Untuk mengatasi masalah ini, setiap kaum wajar mempelajari dan memahami asas budaya dan nilai sesuatu kaum lain.

Dari segi disiplin ilmu, komunikasi silang budaya ialah bidang kajian ilmu komunikasi yang menekankan perbandingan bentuk atau pola komunikasi antara peserta komunikasi berbeza budaya.

Ilmu berasal daripada perspektif antropologi sosial dan budaya ini memberikan kefahaman mendalam mengenai perilaku komunikasi, berdasarkan budaya tertentu dengan menunjukkan perbezaan dan persamaannya. Keperluan dan kewajaran untuk mempelajari dan memahami komunikasi silang budaya penting supaya setiap kaum menjadi semakin terbuka dari segi penerimaan dan pergaulan, sekali gus dapat menyingkirkan sikap etnosentrisme.

Jika setiap kaum dapat menyingkirkan perasaan etnosentrisme, perbezaan budaya yang wujud tidak akan menjadi halangan untuk kita melakukan interaksi antara budaya. Kita tidak akan bersifat statik dan stereotaip kerana pemahaman terhadap budaya lain menjadikan kita lebih peka untuk mencipta lingkungan komunikasi yang efektif dan membina tanpa prejudis dan diskriminasi.

Banyak kebaikan yang kita peroleh jika mempelajari komunikasi silang budaya, antaranya membantu memahami budaya sebagai sesuatu yang dapat menghasilkan dan memelihara wacana secara positif serta penuh bermakna bagi anggota masyarakat.

Ia sekali gus membentuk hubungan harmoni dan memuaskan sesama anggota masyarakat berlainan budaya, mendorong kita menjadi lebih terbuka dan bersedia melihat dan menerima nilai yang baik dan universal dalam sesuatu bangsa atau kaum itu.

Ia juga dapat menyedarkan kita mengenai keterbatasan yang ada dalam budaya sendiri.

Apabila memahami dan menghargai budaya masyarakat lain, kita menjadi lebih peka dengan anggota masyarakat berlainan budaya, sekali gus dapat merangsang pemahaman, memperluas dan memperdalam pengalaman seseorang.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.